Ayat-ayat Cinta Daripada Allah


بسم الله الرحمن الرحيم  

 Segala puji bagi Allah, Pemilik sekalian alam, Yang Maha Berkehendak untuk mengurniakan kita ni’mat Iman dan Islam. Selawat dan salam yang berpanjangan buat Kekasih kita, Sayyiduna Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam, Ahlul Bait yang mulia, para Sahabat yang terpimpin dan mereka yang mengikut jejak langkah mereka.

Firman Allah subhanahu wa taa’la:
“ Dan ingatlah pada hari kami (ketika )Kami bangkitkan pada setiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, dan Kami datangkan (engkau) Muhammad menjadi saksi atas mereka. Dan Kami turunkan Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri  (muslim)”. 
An-Nahl:89

Berdasarkan pada ayat di atas, bolehlah difahami bahawa Allah subhanahu wa taa’la menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk dan sumber ilmu yang menerangkan tentang hakikat kehidupan manusia  dan pandang alam Islami seperti:

1). Asal-usul manusia dan tujuan mereka diciptakan.
2). Perkara-perkara sam’iyyat seperti Syurga dan Neraka, Malaikat, azab kubur dan sebagainya.
3). Hukum-hakam dan adab-adab yang mengatur kehidupan muslim dalam sekecil-kecil perkara seperti adab-adab tidur sehinggalah sebesar-besar perkara seperti pentadbiran negara.
4). Sebagai khabar gembira buat orang-orang yang berserah diri kepada Allah dan Rasul dan menerima Islam sebagai cara hidup.

 Secara ringkasnya, Islam mengajarkan umatnya akan Satu Hakikat kehidupan yang pasti dan tetap, tidak berubah-ubah. Maka, setiap muslim akan mengarahkan segala pekerjaan, amalan, kemajuan dan perkembangan  semuanya bertumpu pada Satu Hakikat itu. Seluruh kehidupan ini hanya diabdikan untuk mencari Redha Allah subhanahu wa ta’ala.

Golongan Yang Menolak Wahyu Allah

Berbeza dengan kaum muslimin, mereka yang menolak Islam sebagai Ad-Deen mengalami krisis kehidupan yang dahsyat dalam mencari ma’na kehidupan . Contoh yang boleh diambil adalah pada masyarakat Barat. Mereka rata-ratanya menganut faham falsafah yang berlandaskan zhann (sangkaan) serta dikaburi dengan ‘pakaian’ agama sebagai alat negara untuk mengatur rakyat semata-mata, bukan sebagai panduan hidup. 

Hal ini demikian kerana falsafah Kebudayaan Barat itu tidak mengajar manusia tentang Hakikat yang Satu, tentang ma’na sebenar kehidupan  yang tidak berubah-ubah mengikut zaman dan citarasa masyarakat. Impaknya, individu-individu yang membentuk masyarakat Barat itu hidup dengan berpegang pada nilai-nilai yang sentiasa berubah. 

Jika dahulu, homoseksualiti dianggap suatu perkara yang songsang dan menyalahi tabi’i manusia, berbeza pula pada pandangan masyarakat Barat sekarang yang melihat hubungan sejenis ini sebagai hak asasi yang wajib dipertahankan. Bahkan, terdapat pula gereja yang meraikan perkahwinan sejenis!  


Disebabkan mereka tiada mengetahui akan ma’na sebenar kehidupan, individu-individu ini terus mencari ma’na hidupnya masing-masing. Setiap daripada diri itu keliru dalam membezakan kebenaran dan kebatilan. Menurut Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas( Al-Attas), kesan daripada kekeliruan ini menyebabkan pada masyarakat Barat itu pembahagian kepada tiga golongan tertentu iaitu golongan belia, golongan setengah umur dan golongan tua; dan golongan-golongan ini masing-masing menandakan ruang perpisahan antara generasi yang dikenali sebagai generation gap


Setiap manusia dalam golongan tersebut terus bertanya akan ma’na-diri dan kehidupannya. Tiada pernah mereka mendapat jawapan yang memuaskan kerana sememangnya asas pegangan falsafah Kebudayaan Barat itu hanyalah berdasarkan zhonn atau sangkaan akal mereka dan tiada istilah ‘yaqin’ dalam kamus kehidupan mereka. 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala:

“ Dan kebanyakan mereka hanya mengikuti dugaan. Sesungguhnya dugaan itu tidak sedikit pun berguna untuk melawan kebenaran, Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. Surah Yunus: 36

Kehidupan tanpa yaqin pada kebenaran Wahyu Allah ini menyebabkan mereka terperangkap dalam  kegentingan mencari identiti sebenar mereka, suatu penderitaan yang disifatkan oleh Al-Attas sebagai identity crisis.

Golongan belia yang baru mengalami perubahan hidup tiada menganggap nilai-nilai hidup yang diajarkan oleh golongan setengah umur sesuai bagi mereka. Mereka tiada percaya bahawa golongan setengah umur itu mampu membimbing mereka dalam kehidupan. Maka golongan belia menuntut kebebasan hidup dan mencari nilai-nilai tersendiri untuk menjadi anutan mereka. 

Golongan setengah umur pula sedar bahawa mereka tiada berdaya untuk membimbing golongan belia yang menjadi anak-anak mereka kerana mereka telah insaf bahawa, nilai-nilai yang mereka pegang semasa belia remaja dahulu ternyata tiada mampu memberi panduan hidup. Maka, tidak dapat tidak, golongan setengah umur ini berkeputusan untuk memberi kebebasan kepada golongan belia untuk berusaha mencari pegangan yang boleh menjadi panduan hidup mereka. Sedangkan pada hakikatnya, golongan belia sangat memerlukan pembimbing dalam mengenal ma’na-diri dan mereka sedar bahawa tiada daya bagi seseorang dalam kalangan mereka sendiri untuk menjadi pembimbing. 

Golongan setengah umur yang tidak mampu membimbing kerana mereka sendiri sedar bahawa anutan mereka semasa belia dahulu tidak lagi sesuai untuk usia mereka. Kini mereka hanya mampu menjadikan kedudukan dalam masyarakat dan negara, pangkat dan harta sebagai penghargaan diri; sebagai ma’na hidup kerana mereka tiada mampu mencapai kebahagiaan sejati. 

Bagi golongan tua pula, mereka tercicir dalam usaha yang dilakukan oleh kedua-dua golongan tadi. Jasmaninya sudah lemah, kudrat pula berkurang, akal semakin merosot. Akhirnya, mereka dilupakan kerana sudah tiada fungsi dalam membantu negaranya mengejar ketamadunan materialistik itu.


Beginilah keadaan hidup masyarakat Barat yang tiada panduan yang benar. Yang diharapkan untuk memberi bimbingan tiada mampu kerana diri sendiri tiada panduan, yang mengharap untuk dibimbing pula terus liar mencari diri kerana tiada petunjuk yang mampu mengarah hala tujunya. Dan putaran ini akan berterusan jika tiada yang berusaha untuk keluar daripada lingkaran tersebut.


Wahyu sebagai Pedoman Hidup


Sebagaimana diterangkan pada permulaan tadi, Islam mengajarkan masyarkatnya, negaranya dan umatnya akan Satu Hakikat kehidupan; diajarkan kepada mereka bahawa kehidupan mereka di dunia ini hanyalah tempat ujian untuk mereka beramal dan mengenal Tuhan mereka ( ma’rifatuLlah ) dan kehidupan yang sebenar itulah di akhirat kelak. 

Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu yang paling awal diajar kepada anak-anak ialah ilmu mengenal Allah, mengenal hakikat diri sebagai hamba ; diajarkan bahawa awwaluddin ma’rifatuLlah. Juga diajar akan keimanan dan keyakinan atau yaqin. Bukan pada ‘aqidah yang penuh dengan keraguan/shakk atau sangkaan/zhonn. 


 Selain daripada Al-Quran, diutus Rasul shollaLlahu ‘alaihi wa sallam sebagai pembimbing, yang mengajarkan ilmu yang benar kepada umat Islam; pakej yang lengkap teori dan praktikalnya. Sosok Agung Sayyiduna Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam itu pula dilihat sebagai insan kamil yang tiada cacat-celanya. Diutusnya Baginda shollaLlahu ‘alaihi wa sallam bukan hanya untuk membimbing kita melihat kebenaran itu pada pandangan golongan belia, bukan juga pandangan golongan setengah umur, dan bukan juga golongan tua, bahkan Baginda merupakan suri tauladan buat kesemua golongan tersebut dalam segenap lapisan masyarakat. 

Setiap golongan melihat Baginda dari segi pandangan manusia, pandangan insan. Maka dalam pandangan masyarakat Islam, Baginda shollaLlahu ‘alaihi wa sallam merupakan contoh terbaik dalam segala hal, sejak bermula kehidupan mereka di dunia ini sehinggalah mereka bakal meninggalkan dunia kelak. Oleh itu, tiada berlaku masalah identity crisis dan generation gap dalam masyarakat Islam. Tidak selagi mereka menjadikan Baginda sebagai pedoman. 

Dapat dilihat dalam tradisi ilmu Islam, di mana anak-anak murid yang muda belia sangat tekun belajar dan mengambil manfaat daripada para masyaikh mereka yang kebiasaannya sudah mencapai umur yang lanjut. Bahkan ada pula kisah di mana tok gurunya masih muda belaka seperti yang boleh dilihat dalam manaqib  al-Imam as-Syafi’e rahimahuLlah yang sudah mengeluarkan fatwa ketika beliau berusia 15 tahun.


Sesungguhnya tiada insan yang paling dikasihi dan dihormati dalam sejarah kehidupan manusia hatta oleh pihak musuh sekalipun melainkan Baginda RasuluLlah shollaLlahu ‘alaihi wa sallam.Sosok yang menjadi tauladan manusia zaman-berzaman, dicintai lebih daripada manusia lain. Itulah Sayyiduna wa Habibuna Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam. Dan hal ini tiada dilihat dalam agama dan masyarakat lain.

Kesimpulan

Amat menyedihkan sekali apabila kita melihat keadaan kaum muslimin dewasa ini. Segala penyakit yang dialami oleh masyarakat Barat yang disebutkan pada perenggan-perenggan di atas sudah merebak dan berakar umbi di dalam hati-hati kaum muslimin. Al-Quran dan Nabi Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam sudah hampir terpadam daripada ingatan umat Islam.

Apakah puncanya yang menjadikan keadaan umat Islam pada serendah-rendah darjat ini? Di manakah silap kita?

Eloklah kiranya persoalan ini dijawab dengan luahan rasa Al-Attas yang telah dicatat di dalam buku beliau iaitu ‘Risalah untuk Kaum Muslimin’:
“Maka sesungguhnya hajatku kini tiada lain daripada berdayausaha menyampaikan kepadamu sekalian-wahai saudaraku Muslimin yang dikasihi-suatu risalah yang kecil ini dengan maksud untuk mengemukakan suatu pandangan yang kiranya diizinkan Allah, Subhanahu wa Ta’ala, dapat jua memberi sedikit sebanyak petunjuk, dan insha’ Allah membantu pula memimpinmu ke jalan yang benar.
 Bahawa sesungguhnya banyak masalah-masalah Kaum kita dan kerumitan jiwa yang sekarang sedang dialami oleh orang-orang Islam itu adalah sebenarnya akibat kejatuhan maruah diri sendiri dan kekurangan ilmu dan akhirnya kekurangan iman. Dan kekurangan iman ini, sebagaimana juga telah dinyatakan oleh Hujjatu’l-Islam al-Imam al-Ghazali, radiya’Llahu ‘anhu, dalam sesetengah karangannya yang agung itu, memanglah disebabkan oleh kekurangan ilmu, khususnya ilmu yang sebenar mengenai Islam pada keseluruhannya”.

Kalau hendak diperincikan masalah kekurangan ilmu dan pemahaman terhadap ilmu Islam yang sebenar, sememangnya tidak cukup untuk dinukilkan di sini kerana perbincangannya yang panjang.

Namun, bolehlah disimpulkan bahawa menjadi kewajipan buat semua muslimin mukallaf belajar ilmu dan adab daripada para masyaikh, asatizah dan guru-guru yang sohih sandaran ilmunya untuk mendapat pemahaman yang sebenar tentang Islam, tentang Al-Quran dan tentang RasuluLlah shollaLlahu ‘alaihi wa sallam.

Bukan hanya melibatkan diri dalam usrah ‘gerakan Islam’ semata-mata yang belum tentu tepat sandaran ilmunya. Manakan tidak,  ayat-ayat Al-Quran dibahas dengan kefahaman sendiri tanpa merujuk ahlinya, hadis-hadis pula disyarah tanpa ilmu yang benar.

Maka, akhirnya perjuangan hanya berlandaskan semangat semata-mata; semangat yang pasti akan padam.Tidak kurang juga pertelingkahan yang berlaku antara jemaah-jemaah yang mendakwa diri mereka ialah jemaah Islam. Akhirnya, agenda mengajak orang kepada Allah bertukar kepada agenda mengajak orang kepada kelompok atau jemaah.

Ingatlah wahai saudaraku, hendaklah kita kembali kepada bimbingan ‘ulama dalam memahami Ad-Din ini kerana ‘ulama ialah pewaris Nabi shollaLlahu ‘alaihi wa sallam. Kita tidak pernah bertemu dengan Nabi, mana mungkin kita dapat memahami ilmu-ilmu Islam dengan hanya membaca buku sahaja. 


‘Ulama pula mempunyai ilmu yang sandarannya sampai kepada RasuluLlah. Mentaati dan menuntut ilmu daripada ‘ulama ialah sunnah RasuluLlah shollaLlahu ‘alaihi wa sallam.Merekalah yang mengajarkan kita ilmu yang sebenar. Moga dengan ilmu yang benar itu kita dapat memahami dan mendekati ayat-ayat cinta daripada Allah. 

waLlahu a’lam
Biro Dakwah IMSAK