Iktibar Hijrah

BismiLlahir Rahmaanir Rahim….



Segala puji bagi Allah subhanahu wa ta’la yang telah mengurniakan kita nikmat Iman dan Islam serta memanjangkan umur kita dan menemukan kita dengan tahun yang baru ini. Selawat dan salam yang berpanjangan ke atas Kekasih dan Penghulu kita Sayyiduna Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam, ahlul Bait yang mulia, para Sahabat yang terpimpin dan mereka yang mengikut jejak langkah mereka.

Perisitwa Hijrah Rasul shollaLlahu ‘alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam kerana peristiwa ini telah menjadi titik tolak kepada perubahan-perubahan penting yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat Arab Makkah dan Madinah serta tamadun-tamadun lain di seluruh dunia.

 Beberapa contoh yang boleh dilihat ialah:
  1. Perubahan daripada da’wah secara individu/sirr kepada da’wah secara berinstitusi yang didukung oleh kerajaan Islam Madinah.
  2. Bertukarnya status kehidupan orang-orang Islam daripada ditindas dan dipandang lemah oleh masyarakat Arab Jahiliyyah kepada kehidupan yang bebas mengamalkan agama Islam.
  3. Perubahan daripada kedudukan kaum Muslimin yang hanya mewakili sekelompok kecil manusia yang dikelilingi musuh dan sering mendapat ugutan bunuh kepada posisi memerintah serta mempunyai tampuk kepimpinan yang kuat.
  4. Peralihan kepada fasa di mana Islam bukan hanya merangkumi ibadah ritual tetapi sebagai Ad-Din yang syumul dan merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, social dan lain-lain.
Perbezaan kedua-dua periode ini jelas boleh dilihat melalui bentuk dan mesej ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah atau Madinah. Sehinggakan para ‘ulama mengklasifikasikan ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah sabagai ayat Makkiy yang lebih menekankan mesej Tauhid atau Keesaan Allah subhanahu wa ta’laa dan ayat yang diturunkan di Madinah sebagai ayat Madiniy yang lebih menekankan aspek cara hidup seorang Muslim.

Amirul Mukminin, Sayyiduna ‘Umar radhiyaLlahu ‘anhu juga telah memilih detik bersejarah ini sebagai permulaan kalendar Islam kerana daripada perisitwa inilah berkembangnya era dan tamadun Islam yang telah dihayati dengan saksama oleh kaum Muslimin yang telah mendahului kita. Sebuah tamadun yang mampu kekal berabad lamanya. Dan sebagai orang-orang beriman, kita yakin bahawa ketamadunan ini akan menyinar buat sekian kalinya sebagaimana yang dinukilkan oleh Tan Sri Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam puisi beliau:


Sifat sejarah menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang;
Cerita lampau dihurai dalang,
Pabila tamat segera diulang
Jika demikian mustahil pantang
Giliran Islam pula mendatang
Lakonan lama indah gemilang,
Di layar dunia semula terbentang. 




Hijrah seorang Muslim

Hijrah secara intipatinya bermaksud suatu proses perpindahan kepada keadaan yang lebih baik. ‘Keadaan’ yang dimaksudkan di sini bukanlah bermaksud tempat yang lebih selesa supaya diri boleh berehat-rehat dan bersenang-lenang . Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan atau persekitaran yang kondusif untuk pembinaan dan proses pembaikan yang berterusan.

Setibanya di Madinah, Rasulullah shollaLlahu ‘alaihi wa sallam memulakan langkah-langkah penting untuk membina masyarakat yang beriman dan berpegang teguh dengan agama Allah subhanahu wa ta’laa. 

Sebagai contoh:
  1. Pembinaan masjid sebagai tempat khusus untuk beribadah di mana RasuluLlah shollaLlahu ‘alaihi wa sallam sendiri turut serta membinanya.
  2. Menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar yang mana asas ukhuwwah mereka ialah ‘aqidah yang sohih bukannya berdasarkan semangat ashobiyyah kabilah-kabilah seperti yang diamalkan masyarakat Arab Jahiliyyah.
  3. Pembentukan Piagam Madinah yang menjadi panduan dalam hal-hal interaksi antara kaum dan komuniti Islam dan komuniti bukan Islam seperti orang Yahudi dan kaum Arab yang belum memeluk Islam.
Seorang Muslim seharusnya menjadikan perisitwa Hijratur Rasul shollaLlahu ‘alaihi wa sallam ini sebagai contoh untuk memperbaiki diri dengan menjadikan asas perubahan dan ‘penghijrahan’ adalah semata-mata kerana Allah dan Rasul shollaLlahu ‘alaihi wa sallam.

 Allah subhanahu wa ta’laa berfirman:
“ Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka , adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh kesenangan yang kekal di dalamnya, Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sungguh, di sisi Allah terdapat pahala yang besar.” –at-Taubah:20-22
Begitu juga dengan apa yang disebutkan dalam hadis yang berikut:

“Dari Amir al-Mukminun Abu Hafs ‘Umar Ibn Khattab Radiyullah ‘Anh, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda : Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.”
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim
Maka, persoalan niat ini tidak boleh dipandang ringan kerana niat akan mempengaruhi apa-apa yang ingin kita buat dan amalkan. Sekiranya apa yang kita niatkan itu baik dan belandaskan ketaatan kepada Allah dan Rasul shollaLlahu ‘alaihi wa sallam, maka hasilnya juga akan menjadi baik. 

Di dalam Kitab Bidayatul Hidayah ( Permulaan Jalan Hidayah) karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahuLlah ada menekankan persoalan niat melalui nasihat beliau tentang amalan-amalan selepas solat Subuh, iaitu seperti berikut:

“…dan hendaklah engkau berniat untuk membuat sebarang kebaikan kepada orang-orang Islam dan hendaklah pula engkau berazam bahawa engkau di sepanjang hari nanti tidak akan membuat sesuatu kecuali hanya taat kepada Allah dan hendaklah engkau niatkan membuat ketaatan yang termampu engkau membuatnya…” 

Imam Al-Ghazali mengajar kita supaya memulakan hari kita dengan niat yang baik .Moga-moga apabila bidayah/permulaan hari kita dengan niat yang baik dan benar, maka nihayah/penutup hari kita juga diakhiri dengan kebaikan. Ameen, inshaAllah.



Sebagai kesimpulan, marilah kita menghayati secara menyeluruh sirah perjuangan Nabi shollaLlahu ‘alaihi wa sallam dan mereka yang dekat dengan Baginda khususnya dalam hal ini, iaitu peristiwa Hijrah itu sendiri. Dan marilah juga kita muhasabah tahun-tahun yang telah kita lalui supaya dapat dijadikan pengajaran bagi tahun yang baru ini dan ayuh kita mulakan tahun baru ini dengan keazaman dan niat yang baik supaya penutup kepada kehidupan kita nanti adalah dengan kebaikan.

 Pesan Imam Ibnul Wardi rahimahuLlah dalam bait qasidah beliau:
“ Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah tenggelam”
Dan jangan sesekali kita lupa akan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Kekasih kita iaitu Sayyiduna Muhammad shollaLlahu ‘alaihi wa sallam dan ahli keluarga Baginda serta para Sahabat Baginda. Baginda ialah hadiah terbesar buat umat manusia. 
“ Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad ), sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu)ketika orang-orang kafir mengusirnya(dari Makkah); sedang dia salah salah seorang dari dua orang ketika kedua-duanya (RasuLlah dan Sayyidina Abu Bakar) berada di dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita.” Maka, Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Mahaperkasa , Mahabijaksana”


Wallahu a’lam