TERBANG SEPERTI SANG RAMA-RAMA


                Teringat masa kecil dahulu ketika baru pertama kali diperkenalkan dengan serangga yang dinamakan rama-rama (atau lebih masyhur lagi dipanggil dengan ‘butterfly’), satu perkataan yang pasti tergambar dalam benak fikiran adalah ‘cantik’ atau mungkin mana-mana perkataan yang membawa maksud serupa. Inilah tarikan utama sang rama-rama ini. Bahkan di setiap taman haiwan pasti dibina bersama taman rama-rama. Namun sahabat-sahabat sekalian, pernah tak kita terfikir, apakah proses yang dilalui sang rama-rama sehingga ia membesar dengan cantik? Apakah dilahirkan terus bersayap dan mampu terbang?


                Sang rama-rama betina akan bertelur di daun tumbuh-tumbuhan dan setelah ia menetas, apakah ia terus menjadi rama-rama? Sudah tentu tidak. Ini adalah peringkat kedua dimana ia menjadi ulat bulu. Kemudian setelah ia mencapai berat dan panjang yang sesuai, maka ia akan berubah menjadi ‘pupa’ atau kepompong dan seterusnya menjadi rama-rama. Namun sahabat-sahabat, apa yang terjadi sekiranya kita mengganggu proses kejadian rama-rama ini?


                Di dalam buku "Discovering Moths"  karya John Himmelman menceritakan kisah seorang lelaki yang menjumpai kepompong dan terlihat seperti ada lubang kecil padanya. Kemudian dia menanti dan terus menanti kemunculan rama-rama. Kelihatan rama-rama itu bersungguh-sungguh cuba untuk bergerak keluar dari kepompong. Kemudian ia berhenti. Tanpa berlengah, pemuda itupun mengambil gunting dan terus memotong kepompong tersebut. Rama-rama itu pun mampu keluar dengan mudah namun badannya membengkak. Pemuda itu terus memerhati dengan harapan sayapnya akan mengembang dengan indah seperti yang lain. Namun ternyata, ia terus kekal seperti itu! Sayapnya kekal tak membesar. Bahkan ianya kekal begitu sehingga akhir hayatnya. Seorang pemuda yang berniat baik untuk membantu, namun menyeksanya hingga ke akhir hayat.


                Itulah ibarat kehidupan kita yang sebenarnya. Apakah kita mampu terbang tanpa ujian dan cubaan? Bahkan hidup yang penuh dengan kesenangan itu boleh jadi akan menjadikan kita seperti rama-rama yang cacat, lemah dan tak mampu untuk berdikari dalam hidup.


‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’


(Al-Baqarah : 216)


Imam Abdullah bin Ahmad bin Mahmud al-Nasafi dalam tafsirnya ‘Tafsir An-Nasafi’ ketika mentafsirkan ayat diatas, ayat tersebut menceritakan tentang kewajiban menentang dan berperang dengan orang kafir yang mengancam keselamatan negara. Dan pada ketika itu, ada dalam kalangan Muslimin lebih rela untuk duduk dan tidak menyertai peperangan tersebut. Mereka membenci untuk menyertai peperangan tetapi ia terbaik buat mereka. Sama ada mereka menang dan memperolehi harta rampasan perang atau mati syahid yang menjadikan syurga sebagai balasannya. Bagi yang menganggap duduk itu lebih baik, mereka akan kekal dalam kemiskinan dan diharamkan daripada mendapatkan harta rampasan perang.


Begitu juga dengan kehidupan kita. Yakinlah bahawa setiap kepayahan yang melanda itu sebagai tanda sayang Allah kepada kita. Agar kita menjadi insan yang lebih tabah yang mampu terbang dengan kedua belah sayap yang indah seperti sang rama-rama. Berbahagialah tatkala menerima musibah. Mungkin kesabaranmu akan membasuh segala kesilapan yang telah dilakukan.




Amalkanlah doa ini ketika kita menerima ujian dari Nya :


Ummu Salamah, isteri Nabi saw berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Tidaklah seorang hamba yang tertimpa musibah, kemudian ia berdoa:


inna- lilla-hi wa inna- ilaihi ro-ji'u-n. Allahumma'jurni-fi- musibati- wa akhlifli- khoiron minha-,


kecuali Allah pasti akan memberikan pahala di dalam musibahnya dan akan memberikan ganti baginya yang lebih baik dan musibah tersebut". Ummu Salamah berkata, "Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berdoa sebagaimana yang diajarkan Rasulullah kepadaku, lalu Allah memberikan ganti untukku yang lebih baik darinya, yaitu Rasulullah saw".


(Riwayat Muslim)


                Diharapkan  perkongsian ini berguna buat diri serta sahabat-sahabat sekalian. Mudahan-mudahan kita semua mampu untuk berusaha mengharungi ujian dan bersungguh-sungguh keluar dari kepompong, agar suatu hari kelak, kita akan terbang seperti rama-rama. Kesabaran kita mungkin tak dibalas di dunia, namun dibalas dengan yang jauh lebih baik, iaitu syurgaNya yang abadi. Amin.

 

    Faliq Asyraf
    Pengajian Islam
    Tahun 1