Sempena cuti musim dingin yang lalu, pada 21 Februari 2010, Biro Sukan & Kegiatan Luar IMSAK telah mengadakan lawatan ke Mansourah dan Dumyat yang disertai oleh 23 orang ahli. Alhamdulillah, trip yang bermula seawal 6.45 pagi ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Rombongan kali ini di ketuai oleh Ust Suhaimi iaitu mahasiswa dari Universiti Al-Azhar cawangan Dumyat yang lebih arif tentang selok belok di Destinasi lawatan ini.
Destinasi pertama kunjungan kami ialah Makam Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi di Mansourah. Beliau merupakan salah seorang syeikh yang disegani dan terkenal di bumi anbia ini. Seterusnya rombongan kami menuju ke bandar mansourah lalu singgah di Asfour (butik kristal) di mana cawangan tersebut menawarkan harga kristal yang lebih rendah berbanding di Kaherah.
Perjalanan kami disambung semula terus menuju ke Dumyat. Sesampai di Dumyat Gadid Ula, kami menunaikan jamak Zohor dan Asar di Masjid Ar-Rahman. Di Dumyat kami turut di bantu oleh saudara Anas juga mahasiswa Malaysia di sana. Ladang Kurma, gandum dan jambu batu menjadi kunjungan pertama di Dumyat.
Destinasi seterusnya ialah pantai kerang di Dumyat. Pantai yang menghadap laut mediterranean ini penuh dengan hidupan kerang. Setelah hampir sejam setengah mengutip kerang, kami berehat dan makan tengahari di pantai tersebut.
Rombongan meneruskan perjalanan ke Ra'sel Bar iaitu suatu ketika dulu menjadi tempat Nabi Khidir AS bertemu dengan Nabi Musa AS. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika di atas jambatan yang menyeberangi sungai Nil bagi melihat pemandangan indah di sana. Subhanallah, dari atas jambatan itu kita dapat lihat muara sungai Nil serta kehijauan ladang kurma dan gandum di tebingan sungai tersebut.
Bandar Dumyat terkenal dengan bandar perikanan. Di Ra'sel Bar kita dapat lihat nelayan memukat ikan dan pastinya harga makanan laut di Dumyat jauh lebih murah berbanding tempat-tempat lain di Mesir. Selesai kunjungan kami di Ra'sel Bar, kami menuju ke bandar Dumyat untuk menunaikan jamak Maghrib dan Isya' sebelum berangkat balik ke Kaherah. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan kepada Ust Suhaimi dan Ust Anas atas bantuan dan penerangan dalam menjayakan lawatan kali ini.
Berikut adalah gambar sepanjang lawatan ke Mansoura dan Dumyat 2010...