Makna Kebahagiaan (Bahagian II) - Berbahagialah wahai Orang Yang Beriman!

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Pentadbir dan Pemilik sekalian ‘alam, Yang Maha Menzahirkan tanda-tanda Kasih SayangNya buat hamba-hamba yang tercari-cari hakikat diri. Selawat dan salam senantiasa buat kekasihNya, Sayyiduna wa Habibuna Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, ahli Keluarga Baginda yang mulia dan para Sahabat yang terpimpin.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan mendambakan kehidupan yang bahagia. Kerana itulah dia fitrah manusia. Mana mungkin ada manusia yang inginkan keresahan dan kemurungan mengisi babak-babak hidup yang sementara ini. Maka, manusia mula tercari-cari, apakah makna kebahagiaan itu.

Ada yang mencarinya pada mengumpul harta kekayaan, ada yang mencarinya pada pangkat dan jawatan, tidak kurang yang hanya melihat pada pencapaian akademik semata-mata (dan menyangka dirinya sudah memiliki ilmu). Ada pula yang memilih untuk memuaskan nafsu kebinatangannya, dengan harapan segala beban dan resah yang ditanggung akan segera dilupakan.

Benar, jalan-jalan yang dipilih tadi akan menyenangkan hati mereka, akan menjadikan mereka berasa puas dengan pencapaian-pencapaian mereka. Namun, sejauh manakah jiwa mereka akan berasa tenang dan bahagia.

Kerana harta kekayaan yang melimpah-ruah, akhirnya akan menjadikan mereka berasa gelisah. Mereka menjadi khuatir dengan orang-orang di sekeliling, khuatir ada yang akan cuba untuk merampas harta miliknya. Maka, tenaganya habis dikerah bagi memikirkan cara supaya hartanya selamat.

Bagi yang mengejar pencapaian akademik semata-mata, jiwa mereka menjadi kacau kerana tidak senang melihat teman-teman yang menjangkau lebih daripada mereka. Iri hati dan hasad dengki mula berakar di dalam hati. Maka, fikirannya disibukkan dengan memikirkan cara untuk menggagalkan kawannya itu. Golongan sebegini tidak akan pernah merasa bahagia selagi mana orang yang mereka dengki itu tidak jatuh. Namun, apabila mereka mendapat nikmat kejayaan, mereka tidak akan pernah puas.

Ketahuilah wahai sahabat,
Sebagaimana yang disebutkan di dalam buku “Menyingkap Tabir Bahagia” hasil tulisan al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin, hidup bukannya ruang bagi insan mencari-cari apa saja yang dimahukan, tetapi hidup adalah lapangan insan menunaikan MAKSUD ASAL DIRINYA DICIPTAKAN. Andai mahu terus mencari makna bahagia selain daripada ketentuan Allah, maka setiap langkah dalam memburunya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang dihimpunkan hanyalah episod gelisah, derita dan rasa KEKOSONGAN (diambil dari buku diatas).

Manusia tidak akan pernah berasa bahagia selagi mana dirinya tidak mencari siapakah sebenar dirinya. Siapakah yang menciptanya? Untuk apa dia diciptakan? Dan kemanakah destinasinya kelak sesudah kematian? Selagi mana soalan-soalan ini tidak dihayati dan dijawab dengan tulus ikhlas, dia tidak akan berganjak daripada berpijak di atas bumi khayalan.


Hidup ini ibarat sekolah. Kita ialah para pelajarnya. Sebuah sekolah sudah pasti akan menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan tahap keilmuan para pelajarnya. Selain daripada  proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, ada masanya para guru akan membuat program lawatan sambil belajar, hari sukan dan sebagainya. Apa sahaja program yang bermanfaat dan boleh membina peribadi anak muridnya.

Pelajar yang tahu akan tujuannya hadir ke sekolah, sudah pasti akan menerima segala bentuk tarbiyah yang diberikan oleh para guru. Dia akan memberi komitmen yang sepenuhnya. Dia tabah dalam menghadapi hukuman-hukuman gurunya. Kerana dia yakin, apa yang dibuat oleh pihak sekolah adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. 

Manakala pelajar yang tidak tahu akan tujuan dirinya hadir ke sekolah, akan berasa malas dan tidak bersemangat dalam menjalani proses pembelajaran di sekolah. Segala bentuk  pelajaran yang diterima, semuanya dianggap susah-susah belaka. Mereka hanya akan berasa seronok apabila tibanya waktu rehat atau pada masa sukan, di mana mereka boleh bersuka-ria. Namun, kemanisan hidup di sekolah bukanlah hanya ketika waktu rehat di kantin atau sewaktu beriadhah di padang permainan, kerana matlamat untuk melahirkan pelajar cemerlang hanya akan dapat dicapai sekiranya setiap pelajar bersungguh-sungguh menjalani SEMUA program yang diaturkan oleh guru-gurunya. Pelajar yang faham akan mendapat hasilnya daripada tarbiyah ini manakala pelajar yang hanya menurut kehendak hawa nafsunya untuk bermain, tidak mendapat manfaat daripada sekolah tersebut dan akan merasa kekosongan pada alam persekolahan mereka.


Begitulah juga dengan kehidupan manusia, di mana hidup ini ialah sebuah sekolah atau universiti kehidupan dan Allah subhanahu wa ta’ala ialah Gurunya. Allah telah menetapkan tujuan hidup manusia dan cara-cara untuk mencapai maksud penciptaan itu. Manusia yang tahu dan faham akan hakikat ini akan berusaha untuk bertapak menuju kepada Allah dan akhirnya akan merasa hakikat bahagia itu, manakala mereka yang sengaja melupakan hakikat dirinya sebagai hamba Allah dan dikaburi dengan ‘kesenangan’ duniawi, akan terus hanyut ke dalam kesengsaraan yang tiada penghujung, walaupun pada zahirnya mereka tampak gembira, mampu tersenyum. Namun, disebalik senyuman itu, tersembunyi kegersangan jiwa dan kehampaan kalbu yang melenyapkan segala nikmat duniawi. Maka, apa gunanya hidup sebegini?

Sahabat seperjuangan,
Manusia yang beriman, akan menerima hidup ini sebagai suatu anugerah. Mereka melihat hidup ini sebagai suatu medan untuk menyempurnakan kehambaan diri dalam perjalanan menuju Allah subhanahu wa ta’ala. Setiap taqdir yang diterima, mereka menghadapinya dengan tenang. Apabila mendapat nikmat, maka mereka bersyukur. Apabila menerima musibah, mereka bersabar. Dalam kedua-dua situasi tersebut, mereka tetap mendapat redha Allah. Maka, jiwa mereka menjadi tenang dan tenteram dalam apa jua keadaan. Inilah kebahagiaan di dunia buat insan beriman. Seperti mana yang disebutkan oleh Sayyiduna Rasulullah shollallhu ‘alaihi wa sallam, mafhumnya:

“Aku sangat kagum akan keadaan orang yang beriman itu. Semua urusan (yang berlaku dalam hidupnya) itu baik belaka baginya yang mana keadaan itu hanya ada pada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah suatu yang baik buatnya. Jika dia ditimpa musibah dan bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik buatnya”
          -Hadis riwayat Imam Muslim-

Pada diri kita terdapat banyak tanda bahawa kita ini lemah dan memerlukan Allah sebagai tempat bersandar. Hidupnya kita di dunia ini, bukanlah atas kehendak diri kita, dan mati kelak pun kita tidak tahu bila menjelang tiba. Nah, bukankah ini tanda bahawa kita ini makhluk yang diciptakan dengan tujuan tertentu! 
 Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu (mengenalKu)”
          -Az-Dzaariyat: 56 –

Tujuan hidup kita adalah semata-mata untuk menyempurnakan kehambaan diri kepada Allah dan mengenalNya. Supaya, apabila kita kembali kepada Allah kelak, kita pulang dengan jiwa yang bersih dan tenteram. Moga-moga kelak kita termasuk di dalam golongan yang dikurniakan nikmat yang teragung iaitu melihat Dzat Allah subhanahu wa ta’ala, dengan segala Kesempurnaan, Keagungan dan KeindahanNya. Inilah kebahagiaan yang hakiki buat mereka yang beriman di akhirat yang KEKAL  ABADI kelak.

“ Wahai jiwa yang tenang! –Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.-Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,-dan masuklah ke dalam syurgaKu”.
        -al-Fajr: 27-30-


Wallahu a’lam
Rujukan-  Klik sini  (Dr. Farid Shahran)
  • “Menyingkap Tabir Bahagia” oleh al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja   Jamaluddin
  • “Risalah untuk Kaum Muslimin” oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas


Diterjemah & diolah semula oleh
Abu Muhammad
Biro Dakwah IMSAK 11/12