Makna Kebahagiaan (Bahagian I) - Delima Hidup Tanpa Petunjuk

بسم الله الرحمن الرحيم
    Segala puji bagi Allah, Pentadbir dan Pemilik sekalian ‘alam, Yang Maha Menzahirkan tanda-tanda Kasih SayangNya buat hamba-hamba yang tercari-cari hakikat diri. Selawat dan salam senantiasa buat kekasihNya, Sayyiduna wa Habibuna Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, ahli Keluarga Baginda yang mulia dan para Sahabat yang terpimpin.

    Saban hari, kita melihat atau mendengar pelbagai peristiwa, kejadian berlangsung di sekeliling kita. Peristiwa yang terlalu banyak, terlalu biasa dan berlaku pada masa yang terlalu singkat sehingga kadang-kadang tiada terdaya kita untuk merenung dan memikirkan sebab-musabab dan makna sesuatu peristiwa itu terjadi. Seolah-olah, setiap kejadian ini merupakan ‘babak-babak drama’ yang tiada berkesudahan dan manusia ialah pelakonnya.

    Contoh yang boleh kita lihat daripada episod-episod kehidupan manusia ini ialah babak di mana manusia, pada pagi hari, tergesa-gesa menuju ke tempat kerja. Masing-masing sibuk dengan urusan diri dan memikirkan beb an-beban tugas yang bakal dihadapi semasa kerja nanti. Ada yang risau kerana akan dimarahi majikannnya. Dan ada pula yang sibuk mengampu orang atasan agar dirinya dapat naik pangkat dengan cepat tanpa perlu susah-payah seperti orang lain.

    Atau mungkin juga kita boleh menyaksikan babak ‘drama kehidupan’ ini pada masyarakat yang mengagung-agungkan sains dan teknologi sebagai agama baru bagi menggantikan fahaman tradisional yang menjadi pegangan nenek-moyang mereka. Sekelompok yang lain pula mengaku diri mereka sebagai tuhan dan kononnya memerintah kerajaan langit.

    Babak ketiga daripada drama kehidupan yang tidak berkesudahan ini adalah di negara-negara yang menghadapi peperangan. Senjata, kereta kebal, letupan, kematian merupakan kebiasaan bagi masyarakat di situ.  Mereka bertungkus-lumus memikirkan strategi untuk mengalahkan musuh dan sanggup mati agar maruah dan kedaulatan negara dan kaum mereka terbela.

    Peristiwa-peristiwa yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada drama kehidupan yang biasa kita lihat di kaca televisyen atau di hadapan mata kita sendiri. Sekiranya kita amati setiap peristiwa tadi, akan kita dapati bahawa maksud akhir yang ingin dicapai oleh sebilangan kelompok manusia tadi adalah tidak lain tidak bukan hanya untuk merasai nikmat kebahagiaan itu sendiri.

    Golongan yang sibuk bekerja tadi berazam untuk mengumpul harta kekayaan agar dirinya dapat bahagia kerana tidak perlu hidup susah dan meminta-minta. Bagi kelompok manusia yang sibuk menyebarkan fahaman-fahaman tertentu, tidak kira sama ada berasaskan faham sains seperti kelompok naturalis ( yang rata-ratanya ialah athies) atau kelompok yang menyebarkan faham kultus sehingga ada mengaku dirinya nabi terakhir (selepas Sayyiduna Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam), tingkah-laku mereka ini, tidak lain tidak bukan, ialah manifestasi daripada proses pencarian manusia bergelut untuk memahami hakikat diri dan mencapai kebahagiaan (namun, mereka tertipu dengan godaan syaitan dan nafsu sehingga terjerat ke dalam aqidah yang songsang).

    Apa sahaja usaha manusia, walau pelbagai jalan yang dipilih, adalah semata-mata untuk merasa nikmat kebahagiaan dan ketenangan diri (inner peace and tranquility). Hakikatnya, merasai kebahagiaan ialah fitrah seorang manusia dan manusia tidak dapat untuk lari dari tujuan ini.

Persoalannya,  adakah kelompok-kelompok manusia yang disebutkan tadi benar-benar merasa bahagia? Dan apakah sebenarnya makna kebahagiaan dari perspektif Islam?

    Sebelum melihat kepada konsep kebahagiaan dalam Islam, ada baiknya jika kita melihat apakah makna kebahagiaan yang dipegang oleh masyarakat Barat Moden. Kelompok yang berfahaman hedonisme melihat kebahagiaan hanya pada asas keseronokan melampau (pleasure and pain). Bagi kelompok homoseksual pula memandang kebahagiaan itu apabila nafsu kebinatangan (animalistic insticts) mereka dipenuhi.

     Berdasarkan perkara ini dan mungkin daripada beberapa contoh pemikiran dan isme-isme Barat yang lain, makna kebahagiaan bagi mereka hanyalah terbatas pada logik akal yang terlalu subjektif dan bias, yang bukan didasarkan pada faham agama dan fitrah manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Kerana kita boleh melihat, masyarakat Barat yang mengagungkan fahaman seperti hedonism ditambah lagi dengan kemajuan tamadun mereka dari sudut material tetapi di negara-negara Barat jua lah yang paling tinggi kadar jenayahnya, termasuk jugalah kes bunuh diri.

Maka, mari kita renungkan, apakah makna kebahagiaan yang sebenar?


P/S: Kepak dah naip tok, kelak jak sambong gik. Nantikan bahagian kedua, inshaAllah.
  
Rujukan:- Klik Sini 


Diterjemah & diolah semula oleh
Abu Muhammad
Biro Dakwah IMSAK 11/12